JANGAN ABAIKAN TANGGUNGJAWAB KITA

SEPOHON KAYU
DAUNNYA RIMBUN
LEBAT BUNGANYA
SERTA BUAHNYA...

WALAUPUN HIDUP 1000 TAHUN
KALAU TAK SEMBAHYANG
APA GUNANYA...

SEJARAH PENULIS

Anak sulung daripada 6 orang adik beradik. Bapaku seorang pekerja di Jabatan Pertanian (MADA) sebagai Tukang K2 & ibuku bekerja sebagai guru Sekolah Menengah. Masa berumur 5 tahun aku tinggal di Kg. Titi Baru, Kepala Batas, Alor Star di rumah nenek bersama bapa & ibuku. Dibesarkan & bersekolah di Jitra, yang dahulunya sebuah pekan yang kecil & sunyi (1984), jauh dari hiruk-pikuk & kesibukkan jalan raya seperti di Alor Setar. Aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jitra sehingga tamatnya darjah enam. Semasa di tingkatan 1, aku bersekolah di Sekolah Menengah Seri Mahawangsa. Tetapi ia tidak lama, hanya dalam 2-3bulan berikutnya aku ditukarkan ke sekolah yang telah aku pohon selepas UPSR (masa tu sekolah penuh sangat) iaitu Sekolah Menengah Jitra. Kebetulan ibuku juga mengajar di situ sebagai guru Pendidikan Seni & Bahasa Malaysia tingkatan 1. Semasa di sekolah, aku bergiat cergas didalam Persatuan Bulan Sabit Merah Unit 08 sebagai Quarter Master (tingkatan 3) & Naib Pengerusi / Sarjan Mejar (tingkatan 5). Aku menamatkan pelajaran di Sekolah Menengah sehingga tingkatan 5 (SPM) dan kemudiannya aku menyambungkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian iaitu Institut Kemahiran Mara di Alor Setar dalam tahun 1998.

Dalam tahun 1998 juga, aku kembali bergiat di dalam Persatuan Bulan Sabit Merah di daerah aku tinggal iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah VAD Unit 26 Jitra. Semasa di dalam VAD 26, aku hanya memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa & mengajar pelajar-pelajar sekolah tentang asas kawad kaki. Sekitar tahun 2005, Pekan Jitra yang pernah aku diami dengan sunyi tidak lagi seperti dulu dengan kemunculan banyak perubahan pembangunan yang tumbuh seperti cendawan. Dulu masa sekolah menegah, kalau nak tengok wayang, karaoke, pusat hiburan, lepak kat shopping kompleks, kena ke 'Uptown' (Alor Setar). Kini tahun 2009, panggung wayang, sukan bowling, karaoke, pusat hiburan, sukan futsal & sebagainya semua ada di Pekan Jitra yang aku kenali sejak dari tahun 1984 masa mula-mula aku jejaki. Masa berubah terlalu pantas. Kini aku telah menjangkau umur sekitar 30-an. Aku masih lagi bergiat macam tahun 1998 hingga tahun 2002, kini bukan lagi dalam VAD 26, tetapi di dalam Bulan Sabit Merah Malaysia Unit 4 Jitra merangkap ahli Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Kubang Pasu, Kedah Darulaman. Aku kini memegang jawatan sebagai Naib Komandan Unit 4. Semakin besar jawatan yang dipegang, semakin berat tanggungjawab yang akan aku lakukan. Semuanya dari sikap keprihatinan & kerjasama dalam nilai kesukarelaan yang telah aku pupuk sejak di Sekolah Menengah lagi. Kini aku bekerja di sebuah syarikat swasta yang agak kukuh di Malaysia. Bertapak di tengah kota Kuala Lumpur. Aku bekerja di Malaysian Maritime Dredging Corporation, Setiawangsa, KL dalam jawatan yang sederhana & sesuai dengan pengalamanku iaitu 'Site Clerk & Logistic Officer'. Kini aku bertapak di Kuala Kedah sehingga tamatnya projek dari syarikat tempat aku bekerja dalam pertengahan bulan April 2009. Kemudian berkemungkinan aku akan kembali ke Kuala Lumpur (HQ) atau ke tapak projek yang baru dijalankan di Batu Pahat, Johor. Namun hatiku untuk meninggalkan seketika Bulan Sabit Merah Malaysia Unit 4 Jitra dengan berat & hiba sekali. Aku mungkin tidak dapat lagi memberi kerjasama kesukarelaan bersama kawan-kawan seperjuangan di dalam BSMM seperti dulu kerana sibuk dengan urusanku. Namun, hidup mesti diteruskan. Walau apapun terjadi. Aku bernekad mahu teruskan usahaku menjadi insan berjaya dalam apa jua bidang & demi masa depanku membina keluarga. Ku teruskan jua dalam urusanku di pekerjaan sekarang. Alahmdulillah, aku bersyukur kerana Allah membuka pintu rezeki kepadaku. Semoga aku dapat berjaya dalam kehidupan & kebahagian bekerluarga kelak.Insya-Allah..

SOALAN KUIZ MINGGU INI



Wednesday, March 18, 2009

USAHAWAN: KOSMO

Usahawan susu segar

Lima peserta yang mengusahakan penternakan lembu susu secara berkelompok dengan 144 ekor lembu mampu menghasilkan susu segar sebanyak 354,000 liter setahun.


MUSTAPA MOHAMED (dua dari kiri) melihat proses memerah susu lembu ketika melawat Projek Kelompok Tenusu Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.


Walaupun hanya mempunyai pendidikan setakat darjah enam, Sukeri Mamat berusaha membebaskan kehidupannya daripada belenggu kemiskinan.

Bekas pekerja kilang itu telah menceburkan diri dalam industri penternakan lembu susu. Selepas 19 tahun, Sukeri kini bersyukur dengan pendapatannya yang melebihi RM3,500 sebulan hasil titik peluhnya memelihara lembu susu.

Beliau yang kini bergelar usahawan susu lembu memulakan kerjayanya menternak lembu susu pada 1990 dengan modal RM30,000.

"Pada waktu itu saya hanya mempunyai 19 ekor lembu induk kerana ia merupakan peringkat permulaan dan saya pun takut juga jika gagal.

"Tetapi hasil galakan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan lembu susu serta penyediaan pemasaran untuk susu cair yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya," kata beliau ketika ditemui di ladang ternak lembu susu Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan.

Hari ini, Sukeri, 34, mempunyai 55 ekor lembu induk susu.

Menurut Sukeri, JPV menyediakan ladang itu bagi membolehkan peserta menjalankan penternakan lembu tenusu di kampung berkenaan.

Susu lembu tersebut akan diperah dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang dengan menggunakan mesin pemerah mudah alih untuk perahan yang bersih.

"Anggaran pendapatan sebulan hasil jualan susu pula sebanyak RM3,500. Ia mencukupi bagi menyara isteri dan dua orang anak," kata beliau.

Beliau merupakan antara lima peserta dalam projek JPV di ladang tenusu tersebut yang membabitkan kawasan seluas lebih 50 hektar.

Terletak di pinggir Bukit Seligi dan bersempadan dengan Jajahan Machang, ladang tersebut dikenal pasti sebagai salah satu daripada kawasan yang paling sesuai untuk penternakan tersebut.

Daripada kawasan terbiar yang dipenuhi dengan hutan, ladang tersebut kini dilengkapi dengan pelbagai bentuk kemudahan asas. Ini termasuklah jalan yang berturap tar dan bangunan pejabat operasi, selepas dibuka pada tahun 1990.

Lima peserta yang mengusahakan ladang berkenaan secara berkelompok dengan 144 ekor lembu mampu mengeluarkan susu segar sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000 setahun.

Selain Sukeri, empat lagi peserta yang juga penduduk tempatan ialah Ismail Zakaria, Ibrahim Abdul Ghani, Azman Che Mat dan Shahrul Bakri Abdullah.

Ibrahim Abdul Ghani, 59, pula berkata, beliau memulakan kerja itu pada tahun 1993 dengan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 daripada hasil wang simpanannya untuk membeli 11 ekor lembu.

"Sehingga kini saya memiliki sebanyak 27 ekor lembu dan pendapatan saya hasil menjual susu pula kira-kira RM2,000 sebulan," kata beliau.

Pengarah JPV Kelantan, Datuk Dr. Mohd Zairi Serlan berkata, jabatannya menyediakan kawasan padang ragut yang ditanam dengan rumput humidicola (Brachiariahumidicola) dan rumput napier (penissetum purpureum) yang dikenali juga sebagai rumput gajah bagi memastikan lembu itu sentiasa sihat dan produktif.

"Selain meragut dan makan rumput, lembu-lembu berkenaan juga diberi makan dedak formulasi untuk mengekalkan prestasi penghasilan susu," katanya.

Pengendalian susu dari ladang berkenaan diusahakan oleh Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Pasir Puteh yang hasil perahannya dikumpulkan setiap hari ke dalam tangki pendingin berkapasiti 300 liter.

Susu berkenaan diproses menerusi pelbagai ujian makmal untuk memastikan kualitinya sebelum dijadikan susu segar yang dipasteur, berperisa dan dijadikan dadih.

Harga susu itu dibayar setiap awal bulan oleh PPIT pada kadar RM1.50 sen seliter yang dikreditkan ke akaun setiap penternak.

Beliau berkata, peserta berkenaan telah menunjukkan daya saing yang tinggi di kalangan penternak tenusu bersaiz kecil dan separa komersial.

"Pengurusan yang baik telah mendorong jabatan saya untuk menyokong supaya ia dinaik taraf memandangkan potensi industri itu amat baik pada masa depan. Ini termasuklah kemudahan asas dan memperbaiki tahap biosekuriti bagi mengelak kejadian penyakit pada ternakan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, negara menyasarkan pengeluaran 1.1 bilion liter susu cair setahun dalam usaha memenuhi keperluan susu domestik dan mengembangkan perusahaan tenusu tempatan.

Beliau berkata, perusahaan tenusu mempunyai potensi yang tinggi kerana tahap pengeluaran dalam negara masih rendah iaitu pada 51 juta liter setahun atau pada kadar 4.6 peratus sahaja daripada keperluan. - Bernama

No comments:

Post a Comment