Pakaian bangkit berahi
SATU-SATUNYA yang mungkin memalukan pembeli ialah pilihan. Pakaian dalam wanita yang membangkitkan keghairahan seks, sebahagiannya boleh dimakan, sebahagian lagi mengeluarkan cahaya waktu malam dan pelbagai lagi boleh didapati dengan mudah di pasar yang menjadi tumpuan rakyat Syria.
Seluar dalam coklat, ada pula yang dilekatkan dengan burung kenari yang boleh menyanyi, coli berbulu yang berkelip ketika gelap dan pelbagai lagi dijual di Al-Hamidiyeh, pasar paling popular dan terkenal di Damsyik.
"Wanita, baik yang berpurdah mahu pun berambut lepas, datang ke sini untuk membeli. Begitu juga dengan lelaki," kata penjual pakaian dalam wanita, Samer di kedainya yang berwarna-warni dengan seluar dalam dan coli. Ia terletak sehala dengan jalan menuju ke Masjid Ommayad.
Samer menunjukkan seluar dalam dan coli yang pelbagai fesyen, warna dan bahan buatan. Ada yang berambu, beropol lengkap dengan saku untuk meletak telefon bimbit, coli yang boleh tertanggal dengan hanya menepuk tangan dan tidak ketinggalan, yang berperisa strawberi.
|
Tahun ini, Samer merancang meluaskan perniagaannya dengan menambah pakaian lebih memberahikan dan menjadikan gadis remaja, wanita berumah tangga dan jururawat sebagai sasaran.
Kedainya mungkin kecil tetapi barangan yang dijual pelbagai. Turut berada di mejanya ialah gula-gula kunyah yang didakwa boleh membangkitkan nafsu seks yang dikenali 'Jaguar Power', minyak urut menaikkan berahi serta penyembur yang dikatakan boleh menahan ketegangan lebih lama. Sebahagian besar barangan itu diimport dari China dan Thailand.
"Ramai wanita membeli barangan ini untuk diri mereka dan suami," kata Samer sambil berdiri dikelilingi seluar dalam wanita dan coli dalam pelbagai fesyen dan warna.
Jualan pakaian dalam seumpama itu agak tidak memberangsangkan kali ini berbanding tiga tahun lalu tetapi peniaga seperti Samer tidak mahu menyalahkan masalah ekonomi global.
Mereka berharap musim panas ini kedai itu akan sesak dengan pelancong, khususnya dari negara Teluk Arab yang tertarik dengan pakaian dalam berhiasan seperti itu.
Maha, ahli farmasi berusia 36 tahun yang ditemui bersiar-siar di kawasan membeli-belah itu bersama beberapa rakan mengakui pernah membeli pakaian dalam seumpama itu tetapi hanya untuk 'berjenaka'.
Pakaian berahi yang dijual secara terbuka di pasar Damsyik itu bukan sesuatu yang memeranjatkan, kata seorang pakar sosiologi tempatan yang enggan namanya disiarkan.
"Budaya keseronokan seks mempunyai peranan penting dalam Islam.
"Wanita Islam bekerja keras untuk memastikan dia sentiasa menawan. Bagaimanapun, kewanitaannya mesti hanya untuk suaminya. Kebebasan peribadi di luar rumahnya mungkin terhad, tetapi di dalam, semua boleh," katanya.
Amal yang sudah menjangkau usia 42 tahun tetapi masih cantik, datang ke pasar Al-Hamidiyeh untuk memilih pakaian dalam bagi anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan sepupunya beberapa minggu lagi.
"Pakaian dalam penari gelek sudah menjadi satu kemestian bagi pengantin baru," kata Amal, sambil memilih seluar dalam seksi berwarna emas.
Anaknya yang ada di sebelah tersipu-sipu.
"Wanita Islam mesti menarik perhatian dan memuaskan suami, supaya mereka tidak cari wanita lain," tambah Amal sambil tersenyum lebar.
Sementara itu, tuan punya kedai menarik seorang pelanggan lelaki ke arah longgokan seluar dalam yang dihiasi patung burung dan beruang kecil.
Rashad, 37, memilih seluar dalam yang dihiasi kain sifon merah dan vinyl. Dia membayar RM137 untuk seluar dalam itu.
"Ini hadiah untuk isteri saya. Saya selalu membeli hadiah untuknya bagi mengeratkan lagi hubungan kami.
"Islam menggalakkan wanitanya sentiasa kelihatan cantik untuk menyenangkan hati suami mereka. Itu memang sudah diketahui umum," kata Mohammad Habash Ketua Pusat Kajian Islam Damsyik.
Menurutnya, tidak salah jika seorang wanita Islam yang menutup aurat membeli seluar dalam seksi.
"Seorang wanita boleh membeli apa sahaja yang diinginkan, termasuk pakaian seksi seperti yang dipakai penari gelek. Tetapi ia mesti hanya untuk suaminya bagi memuaskan nafsu mereka. Ia bukan hanya hak wanita itu tetapi satu kewajipan ke atas mereka," kata Habash.