Pengetua AF7: Tugas berat nanti Tiara |
Sah Datin Seri Tiara Jacquelina dilantik sebagai Pengetua Akademi Fantasia 7. Tiara dah muncul dalam Diari Akademi Fantasia 7 yang bermula Isnin lalu.
Satu Transformasi menjadi tema yang diuar-uarkan sejak memulakan kempen AF7. Apa transformasi yang bakal Tiara serapkan?
Sememangnya satu tugas besar menunggu Tiara apabila memikul tanggungjawab sebagai pengetua.
Bukan sahaja menjadi pengetua wanita pertama, malah Tiara juga menjadi orang pertama yang tidak begitu kuat pengaruhnya dalam bidang muzik.
Tiara bermula sebagai pelakon, kini menjadi nama yang kuat dalam penerbitan teater muzikal di Malaysia apabila berjaya menjadikan Puteri Gunung Ledang The Musical sebagai sebuah pementasan yang hebat dan diperkatakan.
Tapi bukan kerjanya seorang sebaliknya dibantu oleh barisan tenaga pelbagai aspek lain. Bajet besar yang berjaya diperolehi juga menjadikan teater itu kelihatan hebat.
Mungkin ilmu itulah yang bakal Tiara curahkan kepada barisan pelajar AF kali ini. Apatah lagi sejak beberapa musim ini AF semakin hilang taring dan sengatannya tidak sebisa dulu.
Tugas berat Tiara
Peserta AF kali ini nampaknmya agak berusia dengan kebanyakannya melepasi usia 20 tahun. Hanya beberapa orang yang masih hijau usianya.
Sekali imbas, barisan pelajar AF kali ini kurang menonjol daripada segi penampilan diri kalau dilihat sekali imbas. Mereka harus menonjolkan bakat sebenar kalau mahu menarik perhatian peminat.
Pastinya bukan satu tugas mudah menonjolkan daya penarik peserta dalam siri diari dan konsert mingguan kerana acuannya sudah difahami oleh penonton.
Mereka sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku dalam diari. Kenen-kenen cinta, sedih tinggalkan keluarga di rumah, menangis kena marah dengan guru dan segala aktiviti yang pernah disaksikan dalam enam musim lalu.
Apatah lagi semasa kecenderungan khalayak terhadap muzik sekarang terarah kepada gaya muzik rock yang dibawakan oleh band-band indie.
Peminat macam tak hirau sangat kepada artis solo. Apatah lagi kalau datang dalam format berbaju cantik dan bergaya sakan di atas pentas.
Pernah satu insiden artis solo kelahiran AF2, Adam kena boo semasa mengadakan persembahan bersama beberapa band indie di Johor Bahru, Johor baru-baru ini. Tunggulah apakah transformasi ini akan berjaya melahirkan graduan AF7 satu nama yang besar?